Friday, May 27, 2011

Siri 33 : Aku ada kerna Kau ada

0230hrs,Mangalore,27052011

Assalamualaikum...tak tahu dari mana hendak aku mulakan tulisan hari ini.Larian jemari pun seakan masih lemah dalam esak tangis sendiri sedang diri mahu berkisah pada sekaliannya. Ini barangkali bukan tulisan jurnal untuk hari jumaat yang selalu-selalu aku tulis. Lebih pada jurnal peribadi aku hari ini.

Sewaktu entri ini ditulis,aku sepatutnya sudah lena setelah selesai ulangkaji untuk peperiksaan yang bakal berlangsung minggu hadapan. Di minggu-minggu peperiksaan ini selalunya aku tidur sejam dua selepas maghrib dan kemudian bangun untuk Isyak dan mulakan ulangkaji. Dengan limpah taufikNya, akan aku kerjakan solat-solat sunat setakat yang terdaya sebelum tidur.

Tadi....sebermula dari takbir Tahajjud,aku sudah merasa kelainannya. Selalunya,belum sudah doa iftitah pun, peluh akan mula merenik di tengkuk dan mula menitik-nitik tanpa sempat aku sudahkan Al-Fatihah pun walaupun kipas siling berputar laju atas kepala.India,di musim panas begini,biasa saja suhunya mencecah hingga 42 selsius.

Tapi malam ini...lain.Tak adalah sejuk semacam..cumanya,seolah-olah peluh-peluh pula yang tak mahu keluar..Malas nak ambil pusing,Tambah pula bila hal begini sebenarnya lebih menambahkan keselesaan untuk bersolat,jadi aku teruskan solat macam biasa. Usai Tahajjud,aku bangkit lagi untuk melanjutkan Taubat aku padaNya. Aku raup wajahku usai memberi salam dan tiba-tiba mata aku tertancap ke pemandangan malam yang sempat mencuri ruang di antara 2 helai langsir tingkap aku.

Ada sesuatu yang sangat menarik perhatian aku.Kelompok-kelompok awan yang aku lihat melakari dada langit malam ini aneh tapi unik.Letak duduknya bagaikan mengintai di antara dua helai langsir tingkap aku.Macam kepul-kepul asap pun ada..Aku ingat lagi,aku diam lama tadi, tanpa sempat pun aku tadahkan tangan untuk berdoa,cuba meraih ingatan aku pada sesuatu..kerana aku kenal sangat lakaran itu....Tapi masih aku berdolak-dalik dengan tanggapan sendiri. Apa kes pulak orang macam aku nak dapat tengok benda-benda camnih?

Aku bangun lekas terus ke birai tingkap. Sekadar mahu pergi melihat lebih dekat.Tahu-tahulah bila dah rabun jauh ni kan.Aku selak sedikit langsir dan....subhanallah...aku terkaku dan terpaku...Seminit,mungkin dua minit.Entah!Aku perhatikan lagi betul-betul,mungkin aku ini berilusi atau cepat sangat membuat andaian. Macam aku cakap tadilah,apa kes pulak orang macam aku nak dapat tengok benda-benda camnih? Tapi..bila aku mendongak ke langit tinggi,aku lihat awan-awan di atas sana berkelompok-kelompok dan tebal.

Dan hanya lakaran awan yang satu ini sahaja yang berada pada paras lebih rendah.Dan kelihatan nipis juga... 

Dan.....cantik sangat awan itu melakarkan kalimah agung Alif-Lam-Lam-Ha...ALLAH...

Satu,dua,tiga....laju saja aliran yang memecahkan empangan mata aku malam ini.Lama aku berdiri di situ.Hanya diam memerhati kalimah agung. Satu saatnya,aku rasakan seolah-olah kalimah itu dan seluruh alam bagai bersatu membisikkan ke dalam minda aku sebaris kata-kata "AKU ADA DI SINI"....sayup-sayup...hinggalah kemudiannya aku tersedar bila ditampar bayu malam yang datang sekilas entah dari mana,tapi sejuk sekali. 

Subhanallah...MasyaAllah...Alhamdulillah...LailahaillAllah...

Aku gegas mahu pergi mencapai kamera.Mahu merakam momen indah itu.Indah yang tak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata.Tersangat indah.Tapi aku sendiri buntu bagaimana nak gambarkan pada semua. Tapi malangnya,saat aku menghalakan lensa...lakaran tadi telah tiada.Dan awan-awan tadi kelihatan seperti awan-awan biasa,telahpun terselindung di sebalik bangunan apartment sebelah.

mengintai di sebalik tirai kamar

Tidak berjaya terakam di lensa,tapi kekal terakam di kotak minda.....Tiada bukti untuk buat kalian percaya cerita ini.Tak mengapa...sebab aku menulis kerana aku mahu.Dan aku tahu setiap dari tulisan aku ini akan dipertanggungjawabkan kepada aku di akhirat kelak. Dan...aku menulis kerana aku mahu menulis. Tiada apa yang aku perlu buktikan pada siapa-siapa pun.

Assalamualaikum..