Monday, August 30, 2010

Siri 16 : Nuzul Al-Quran

Assalamualaikum..
Sudah setengah Ramadhan berlalu pergi.Bagaimana perjalanannya kali ini? Itu soalan aku. Jawapan masing-masing.Kalau mahu dikongsi di ruangan komen nanti pun apa salahnya.

Banyak yang aku impikan dari Ramadhan kali ini. Utamanya,aku mahu merasakan "kelainan jemaah" dalam penghayatan bulan mulia itu tahun ini. Sebolehnya,aku penuhkan jemputan pihak yang berbeza-beza untuk iftar/tarawikh/moreh/aktiviti-aktiviti lain yang mengukuhkan silaturrahim dan memberi keinsafan =)

Cadangnya nak selitkan beberapa keping gambar kembara Ramadhan aku setakat ini.[Poyo gila!] Tapi macam malas pula. Kemudian-kemudianlah ya. Kita kembali ke landasan jurnal yang dah lama tak terisi dengan sempurna ini. Maaf kalau-kalau penulisan 2 3 jurnal yang lepas ini bagai melepaskan batuk di tangga saja.Jadi hari ini aku nak bercerita tentang Nuzul Al-Quran,boleh? [Heh,kalau tak boleh pun,apa aku pedulikan?=p]

Umum mengetahui yang ulama tidak berselisih pendapat tentang permulaan turunnya Al-Quran ialah pada bulan Ramadhan,cumanya, penentuan tarikh sebenarnya tidak dapat dipastikan.

Hujah 21 Ramadhan
Semua ulama' dan ahli sejarah atau kebanyakannya bersetuju bahawa Rasulullah diutus menjadi rasul pada hari Isnin.
"Daripada Abu Qatadah r.h ; Bahawasanya Rasulullah ditanya tentang berpuasa pada hari Isnin. Nabi bersabda :Pada hari itu aku dilahirkan dan diutuskan atau diturunkan Al-Quran ke atasku." Hadis riwayat Muslim,Ahmad,Al-Baihaqi dan al-Hakim
Mengikut perkiraan takwim, pada tahun Rasulullah s.a.w. diutuskan,hari Isnin yang berada dalam bulan Ramadhan jatuh pada 7,14,21 dan 28. Terdapat riwayat-riwayat sahih yang menyatakan LailatulQadr itu berlaku pada malam-malam ganjil (21,23,25,27,29)di sepuluh malam yang terakhir Ramadhan. Dan jika dibelek terjemahan ayat pertama surah Al-Qadr ,Allah telah berfirman
"Sesungguhnya kami turunkan Al-Quran pada malam LailatulQadr". Maka,setelah penelitian dilakukan,kesimpulan yang dapat diambil ialah Al-Quran mula diturunkan pada 21 Ramadhan.

Hujah 17 Ramadhan
Di Malaysia,siap ada cuti umum untuk tarikh ini.Ah,rindu! Tapi sebenarnya,mengikut pembacaan dan pemahaman aku,hujan untuk tarikh ini agak lemah berbanding tarikh 21 Ramadhan.Hujahnya dipaksikan pada surah Al-Anfal,ayat 41 terdapat firman Allah yang bermaksud ".....jika kamu semua beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada hamba Kami pada hari Al-Furqan yakni hari pertembungan dua kumpulan." Ini tidak lain merujuk kepada hari pertembungan Rasulullah dengan kumpulan Musyrikin di daerah Badar lantas membawa kepada Perang Badar yakni perang pertama dalam sejarah Islam pada tarikh 17 Ramadhan tahun ke2 hijrah,tahun pertama umat Islam diperintahkan berpuasa.Mungkin elemen Yaumu Furqan[Hari Furqan-hari yang memisahkan yang hak dan yang batil] di dalam ayat itu telah difahamkan sebagai Al-Quran.Tidak mustahil,kerana aku sendiri selalu mendengar perkataan Al-Furqan itu dikaitkan dengan Al-Quran.

Hujah 24 Ramadhan
Sebahagian ulama' pula memilih tarikh ini berdasarkan hujah yang berikut
"Daripada Wathilah bin al-Asqa' bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Diturunkan suhuf Ibrahim pada m alam pertama bulan Ramadhan, dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan dan Injil pada 13 Ramadhan dan diturnkan al-Furqan (al-Quran) pada 24 Ramadhan."
Selain itu, Al-imam Al-Tobari ada menyebutkan satu riwayat menerusi Sa'id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a katanya : Al-Quran diturunkan sekaligus dari LohMahfudz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ditempatkan di Baitul Izzah.(Baitul Izzah ini kalau tak silap aku kedudukannya betul-betul di atas Baitullah di Mekah)

Jadi,demikianlah hujah-hujah yang dapat aku kongsikan di sini,Alhamdulillah. Menurut laman web yang aku rujuk itu, penulisnya memberi kesimpulan bahawa tarikh sebenar nuzul Al-Quran ialah 24 Ramadhan. Jadi,apa pendapat anda pula?

Pendapat aku? Wallahua'lam..Pada aku,bila bercakap tentang nuzul yakni penurunan Al-Quran ini,soalan yang lebih penting daripada "bila" ialah.... "kenapa". Kenapa Al-Quran itu diturunkan adalah persoalan yang lebih menarik minat aku,sejujurnya. Berhubung tarikh penurunannya, cukuplah pada aku ilmu berkenaan hujah-hujah yang tertulis di atas.Berbalik pada persoalan yang lebih utama kriterianya di mata aku, KENAPA AL-QURAN DITURUNKAN?

Al-Quran itu sendiri bererti himpunan. Ya,dalam Al-Quran itu terhimpun segala ilmu. Ilmu tauhid(mengEsakan Allah), fiqh(amal ibadah), munakahat (perkahwinan), muamalat (kewangan), jinayat(jenayah), sains dan teknologi. Semuanya,tanpa ada satupun yang ketinggalan telah Allah satukan dalam mukjizat terbesar Rasulullah s.a.w ini.
"Kitab Al-Quran ini tiada sebarang syak padanya(tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya),ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa" - Al-Baqarah,ayat 2.

Pada Al-Quran ini ada seribu satu petunjuk,bantuan, pengubat, ilmu dan kasih sayang Allah kepada kita. Yang perlu kita lakukan,ialah beriman dengannya, baca,fahamkan,amalkan.

"Bacalah wahai Muhammad dengan nama tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk,ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah,dan tuhanmu yang Maha Pemurah.Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya"-Al-Alaq (1-5)...wahyu pertama yang disampaikan oleh Jibril kepada Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya,Allah jugalah yang lebih mengetahui,paling mengetahui.Wassalam.

-entri ini ditulis sejak Khamis lepas lagi.Lambat diposkan pula-
-teringat pada sahabat sekolah rendah yang bernama Nuzul Imran.semoga diberkati Allah selalu sahabat-

2 comments:

ms. mac said...

very interesting anum! a gud read! =)

NAZ said...

aaa kenapa i tertinggal post ini. wahyu pertama tu terbaikkk :)