Tuesday, April 19, 2011

< 262 > Sepertiga Malam

Kadang-kadang,ada perkara yang pernah terjadi...cop,rasa macam tak berapa sesuai. Selalunya,ada perkara yang pernah terjadi sepanjang perjalanan kita meniti usia dari kecil hingga dewasa, yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup kita. Katakan ianya satu peristiwa, insiden atau tragedi. Mana-mana sahaja cerita duka yang kau suka. Orang bijak pandai istilahkan ia sebagai trauma. Tak akan pernah luput setiap detik dan derapnya dari ingatan,cuma yang membantu kau untuk melangkah ke depan ialah keazaman untuk hidup terus sekaligus menjadikan kau orang yang lebih cekal. Sampai satu saatnya,trauma itu akan berhenti dari jadi tukang ugut pada diri sendiri. Bila?  Jawabnya ada pada yakin diri dan semangat tinggi.

Dan orang-orang yang hidup dalam trauma, bertahun atau belasan tahun lamanya, tanpa dia sedar, ada masanya, akan punya satu pembawaan atau kepekaan atau tindakbalas yang sebati dalam diri. Terbina di bawah sedar. Terbina atas rasa sukar. Terbina untuk menjadi satu benteng mempertahankan diri selagi wajar.

Ah..tak tahu bagaimana harus diletakkan umpama bidalan. Mungkin boleh diibaratkan macam seorang konsultan perubatan(pengkhususan Diabetes Mellitus) yang cengilnya Ya Rabbi Tuhan,sinikal tahap gaban dan langsung tak disukai oleh rata-rata pelajar sedang dengan pesakit-pesakit,lembut dan mesranya kalah jelitawan. Rupa-rupanya bila dikaji tilik semula,pembawaan diri yang sebegitu rupa adalah kerana tidak mahu pelajar-pelajar leka dan sambil lewa.Kelak nanti menyesal kalau tak mampu selamatkan nyawa. Macam beliau,yang hilang Ayah sendiri kerana sakit kencing manis(Diabetes mellitus). Faridahanum kalau nak bagi contoh tu bagi yang luar dari bidang medic tak boleh ke?

Oh..mungkin boleh diandaikan seperti mangsa-mangsa bencana alam yang berpantang maut sebelum ajal. Tsunami contohnya. Di layangan minda akan kukuh terpahat imej-imej dahsyat yang terus-terusan dimainkan secara visual. Jadi tak mustahil dan seharusnya diterima akal kalau reaksi orang-orang ini kelihatan berlebih-lebihan saat loceng amaran Tsunami dibunyikan untuk kedua kalinya. Mereka yang akan jadi lebih laju larinya dan lebih tangkas siaganya. Atau perlu aku tulis tentang Tragedi Sabra & Shatilla hampir 30 tahun lalu? Yang traumanya dirasai setiap muslimin yang menyayangi saudara seakidahnya atas nama Allah. Yang menjelaskan kenapa sukarnya untuk dunia Islam memaafkan Zionis. Namun kita diuar-uarkan pihak sebelah sana sebagai bertindak balas secara ekstremis ke atas seluruh anak bangsa Ariel Sharon.

Malam tadi aku dikejutkan oleh denting jatuh sebatang pensel kayu dari letak baringnya di atas meja. Nyaring. Tak mampu aku terus lena pada bunyi sebegitu sedang geser langsir pada gelungan rel tatkala diusik angin semilir saja sudah mampu buatkan mimpi indahku menyingkir. Pernah juga aku dijagakan dek lenyapnya bingit pusingan bilah-bilah kipas saat elektrik tiba-tiba keputusan bekalan.[oh,India memang selalu sambut EarthHour.LOL]. Aku pun bingung,sebingung teman yang pernah mampir ke bilik untuk kejutkan aku dalam gelap Subuh dan sudahnya terkejut ternganga kerana saat dia terjegul di muka pintu yang sedia terbuka aku sudah lebih dahulu bersuara bertanya "Tikah ke?" "Siapa?"


Pembawaan diri....tindakbalalas...kepekaan....Kita-kita yang terpilih untuk punya itu. Mungkin dirasa malang pada awalnya tapi di hujungnya kau mengecap tuah kasihNya juga.Aku kira aku perlu bersyukur kerana   masih dijaga olehNya dan dijagakan untukNya supaya mengadu hanya padaNya.Apa sahaja...Hatta trauma yang berbelas tahun lamanya. Nah,sekarang kau masih lagi mahu mempersoalkan takdirNya. Bukankah Dia telah berjanji setiap satu kejadian ada hikmahNya. Dan ..... 

"Allah tidak membebani seseorang melainkan yang sesuai dengan kesanggupannya" (2:286)


2 comments:

zuld said...

dan pada malam nya juga diganggu bunyi monyet liar dalam sunyi sepi.. takut punya pasal ko ingat itu bunyi hantu kak limah menangis sendiri! hahahaha

udienjai said...

norfaridahanum, kuatkan semangat dan terus berjuang. Aku rasa macam faham apa yang tersirat dan tersurat dalam post ni. Semoga Allah merahmati! :)